Day Two@ Tokyo


Destinasi kami pada hari kedua adalah Pasar Ikan Tsukiji, Muzium Sumo, Tokyo Fire Department, Asakusa Temple, Imperial Palace dan Tokyo Tower.
Seawal pagi (5.30am) kami telah berjalan kaki selama 10 minit ke Pasar Ikan Tsukiji (Tsukiji Fish Market) dari Hotel Ginza memandangkan lokasi pasar tersebut amat dekat jaraknya. Untuk pengetahuan semua, Pasar Ikan Tsukiji merupakan pasar ikan yang terbesar di dunia dan ianya juga merupakan pusat pembidaan ikan yang terbesar di dunia. Fakta mengenai Pasar Ikan Tsukiji ini adalah ia membida tidak kurang daripada 450 jenis ikan sehari. Masa membidanya pula bermula daripada jam 5.20 pagi sehingga 7.00 pagi. Malangnya, pada waktu itu, kami gagal untuk melihat pembidaannya itu kerana tertutup pada pihak luar terutama pelawat/pelancong. Suasana yang sibuk dan riuh rendah serta laluannya dipenuhi truck-truck pengangkutan (rujuk gambar) menjadikan kami lebih berhati-hati untukberjalan di situ. Disamping makanan laut, Pasar Ikan Tsukiji juga menempatkan bahagian untuk menjual sayur-sayuran dan buah-buahan di sekitar pasar tersebut.

Beberapa jam kemudian…..
Kami bergerak menaiki pengangkutan utama kami di sana iaitu Hato Bus (bas) pada jam 9.00 pagi untuk ke destinasi yang seterusnya iaitu Muzium Sumo. Seperti yang kita sedia maklum, Sumo adalah sukan gusti tradisional Jepun. Sukan ini telah berusia beberapa abad dan dipenuhi dengan upacara dan istiadat. Peserta akan bertanding dalam satu bulatan dan berusaha menjatuhkan atau menolak lawan keluar. Untuk makluman, Muzium Sumo yang kami lawati ini telah dibina pada tahun 1985 dan boleh memuatkan 13,000 orang. Selain dari koleksi-koleksi sumo yang terdapat di sana, landskap tradisional di sekitar Muzium Sumo tersebut sangat mempersonakan kami.






Setelah bersumo…….
Tokyo Fire Department merupakan balai bomba yang terbesar di dunia dan merupakan balai bomba yang memantau 23 kawasan di Tokyo. Negara Jepun  merupakan Negara yang terdedah kepada bencana alam seperti gempa bumi. Sebagai contoh,gempa bumi Kobe merupakan satu gempa bumi yang berlaku di Bandar raya Kobe, Jepun pada 17 Januari 1995 dan ianya telah mengorbankan 6,434 orang manakala 300,000 orang telah kehilangan tempat tinggal. Justeru itu, Tokyo Fire Department merupakan satu pasukan yang sangat penting dalam aktiviti menyelamat jika berlakunya sebarang bencana alam. Di sana, kami berpeluang untuk menyertai tiga jenis aktiviti yang disediakan oleh pihak Tokyo Fire Department iaitu tayangan gambar tiga dimensi (3D) yang mengisahkan tentang gempa bumi yang pertama melanda Jepun, cara menyelamatkan diri ketika kebakaran dan mengalami simulasi gempa bumi. 

Penggembaraan diteruskan……
Kami bergerak ke Asakusa Temple di mana merupakan tokong bagi penganut agama Shinto dan tempatnya merupakan tumpuan pelancong luar kerana selain dari pemandangannya yang indah, Asakusa Temple merupakan identiti sebenar masyarakat Jepun (ramah dan rajin). Di Asakusa terdapat deretan kedai yang menjual cenderamata tradisional dan moden dengan harga yang berpatutan. Bercakap tentang budaya Jepun, memang sangat menarik dan banyak perkara yang kami ingin kongsikan bersama rakan-rakan disini. Salah satu budaya yang seharusnya kita sendiri ikuti adalah rakyat Jepun sangat berbangga dengan bahasa mereka. Untuk pengetahuan semua, rata-rata pekedai di kawasan Asakusa itu tidak boleh berbahasa Inggeris namun mereka masih ramah dan Berjaya menarik minat ramai pelanggan untuk membeli barangan mereka walaupun terdapat masalah komunikasi. Selain itu, usaha mereka yang semangat itu membuatkan para pelanggan berasa gembira dan berpuas hati dengan layanan tersebut. Sikap ramah dan mengangkat bahasa ibunda seharusnya diikuti juga oleh rakyat Malaysia bagi melahirkan rakyat yang harmoni.
Budaya yang menarik dan telah menawan hati…………..
Sesudah meneliti budaya Jepun di Asakusa Temple, kami bergerak pula ke Imperial Palace iaitu kediaman rasmi Maharaja Jepun. Keluasannya termasuk taman adalah seluas 7.41 kilometer persegi. Keindahan panoramanya telah memukau hati kami dan antara mercu tandanya adalah “Statue of Kusunoki Masashige”. Disana, kami telah menikmati makan tengahari mee udon yang merupakan salah satu makanan tradisional Jepun.
Dalam perjalanan pulang…………..
Kami melalui Tokyo Tower yang merupakan struktur bangunan yang paling tertinggi di Jepun dengan ketinggian 333 meter. Untuk makluman semua, pada 2011 pula, Tokyo bakal mempunyai sebuah lagi menara yang bakal dinamakan Tokyo Sky Tree yang sedang dibina kini. Suasana malam telah memancarkan lagi keindahan Tokyo Tower.